Angin Laut China Selatan - Angin Menderu

BLOGGERS DIMOHON BANTU PASUKAN KESELAMATAN NEGARA

Sunday, 3 March 20130 comments


KUALA LUMPUR, 3 Mac (Bernama) -- Tiga bekas pegawai tentera menggesa
rakyat menyokong usaha pihak berkuasa menangani pencerobohan pengganas
Sulu di Lahad Datu dan Semporna, Sabah, serta menjaga kerahsiaan
pergerakan pasukan keselamatan negara.



Mejar (B) Wan Hashim Wan Ahmad yang pernah berkhidmat di Bosnia
Herzegovina berkata orang ramai tidak sepatutnya mempertikai apa jua
langkah yang diambil pasukan keselamatan untuk menyelesaikan krisis itu.



"Orang ramai termasuk blogger-blogger politik diminta beri kerjasama dan
jangan mengeluarkan kenyataan negatif yang akan memecah belahkan
masyarakat. Jika benar insiden ini ada kaitan dengan orang luar,
ternyata musuh negara sudah berjaya memesongkan moral kita," katanya
kepada Bernama.



Sokongan juga bermaksud menjaga kerahsiaan negara dan tidak terlalu
ghairah membuat mengemaskini pergerakan tentera, polis serta
gambar-gambar operasi pasukan keselamatan di Sabah, katanya.



Beliau juga meminta rakyat yang mempunyai rakan di kalangan anggota
keselamatan supaya tidak lagi memaparkan kandungan mesej pesanan ringkas
di dalam laman sosial seperti Facebook atau Twitter.



"Maklumat seperti ini semua boleh disalah guna, ada individu tertentu
yang membuat 'print screen' paparan sms dengan menyiarkan nombor telefon
pegawai polis yang sedang terlibat dalam operasi memburu pengganas di
sana, bayangkan jika maklumat ini disalah gunakan," katanya.



Blogger Komando Kedai Kopi yang lebih dikenali sebagai Mejar (B) Naza
Talib turut menyeru orang ramai agar terus memberikan sokongan kepada
polis dan tentera tanpa perlu mempertikai pasukan mana yang lebih berhak
menangani isu itu.



Tidak perlu timbul perbalahan pasukan mana yang terbaik untuk menangani
krisis ini kerana masing-masing mempunyai bidang perundangan sendiri,
katanya.



"Jika keadaan ini melarat, ada kemungkinan pihak tentera akan campur
tangan terus. Sokongan harus juga diberikan kepada kerajaan kerana soal
keganasan yang ditimbulkan orang-orang Sulu ini sangat kompleks kerana
melibatkan mereka yang telah tinggal lama di Sabah," katanya kepada
Bernama.



Beliau turut memuji keberanian pasukan polis berhadapan dengan pengganas
Sulu yang bersenjata automatik dan mempunyai pengalaman perang gerila
selama bertahun-tahun dalam hutan di Filipina.



Seorang pesara bekas tentera berpangkat Mejar yang tidak mahu namanya
dikenali yakin negara mempunyai kelebihan dari segi taktikal dan
strategi.



"Kita tahu kedudukan mereka, lokasi mereka, ini adalah satu kelebihan
sebagai contoh, mungkin kita boleh memotong bekalan utiliti seperti
elektrik, air dan sebagainya, supaya mereka tidak dapat bertahan lama,"
katanya.



Beliau dalam pada itu turut mengutuk kenyataan naib presiden Parti
Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua yang menuduh insiden pencerobohan itu
sebagai sandiwara Umno.



-- BERNAMA

Share this article :

Post a Comment

 

Copyright © 2013. angin test - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Modify by Wak
Di kuasakan oleh Blogger