Angin Laut China Selatan - Angin Menderu

UPDATE LAHAD DATU : TIAN CHUA TIDAK AKAN MEMINTA MAAF KEPADA UMNO?????

Thursday, 7 March 20130 comments








PETALING JAYA, 7 Mac (Bernama) -- Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat
(PKR) Chua Tian Chang berkata beliau tidak akan meminta maaf dan
bersedia menghadapi tindakan undang-undang berhubung kenyataannya yang
mengaitkan Umno dengan insiden pencerobohan di Lahad Datu, Sabah.


Beliau berkata soal meminta maaf seperti yang dituntut Umno tidak timbul.




"Saya rela disaman di mahkamah dan saya akan menjelaskan kenyataan saya
kepada mahkamah. Saya akan serah kepada mahkamah untuk membersihkan
nama saya kerana saya tidak pernah keluarkan apa-apa kenyataan yang
menghina mana-mana pihak," kata Chua yang lebih dikenali sebagai Tian
Chua.




Beliau bercakap pada sidang media di ibu pejabat PKR di sini Khamis.




Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor sebelum ini
berkata notis telah dihantar kepada Tian Chua yang juga Anggota
Parlimen Batu menuntut supaya beliau dalam tempoh tujuh hari bermula 4
Mac lepas berhenti membuat kenyataan lanjut berunsur fitnah berkenaan
isu tersebut atau sebarang kenyataan yang serupa terhadap Umno.




Tian Chua juga diminta membuat permohonan maaf tidak bersyarat dalam
bentuk bertulis dan penarikan balik kenyataan berunsur fitnah tersebut
atau kenyataan serupa terhadap Umno.




Tengku Adnan berkata notis itu berkaitan kenyataan Tian Chua yang
diterbitkan KeadilanDaily.com pada 1 Mac lepas, bertajuk 'Insiden
tembakan di Lahad Datu konspirasi terancang Umno - Tian' yang
mengandungi kata-kata fitnah jahat terhadap Umno.




Sementara itu, PKR Cabang Jerai membuat laporan polis terhadap Tian Chua di Sungai Petani, Kedah.




"Walaupun kami dari parti sama, namun tindakan Tian Chua mengeluarkan
kenyataan sedemikian adalah tidak wajar dan kita minta dia disiasat
mengikut Akta Hasutan," Naib Ketua I PKR cabang itu, M Palaniapan
memberitahu pemberita kemudian.




Ketua Pemuda Umno Bahagian Padang Serai Asmadi Abu Talib pula berkata
tindakan penceroboh itu telah mengancam keselamatan dan kedaulatan
negara, dan kerana itu kenyataan Tian Chua yang mendakwa insiden di
Lahad Datu sebagai konspirasi Umno amat dikesali.




"Pucuk pimpinan PKR harus bertanggungjawab sepenuhnya atas kenyataan
Tian Chua itu yang seolah-olah menggambarkan nyawa anggota keselamatan
yang terkorban tiada nilai," katanya selepas menyertai demonstrasi di
hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah Kulim selepas laporan polis dibuat
terhadap Tian Chua.




Peserta demonstrasi hampir 100 orang itu turut membakar gambar dan patung yang mempunyai wajah Tian Chua.




Presiden Pertubuhan Anti Jenayah Bersatu Malaysia Datuk Dr
A.Balakrishan menegaskan Anggota Parlimen Batu itu perlu meminta maaf
atas kenyataannya yang menyinggung perasaan keluarga anggota keselamatan
yang terkorban dan rakyat Malaysia.




"Jangan jadikan ia (isu) politik. Ada kematian...Takkan kita boleh
mempermainkan kematian. Anggota (pasukan keselamatan) kita sekarang ini
pun sedang bersabung nyawa mempertahankan negara," katanya selepas
membuat laporan polis terhadap Tian Chua di Ibu Pejabat Polis Daerah
Subang bersama 20 anggota pertubuhan itu.




Di PENDANG, kira-kira 150 penduduk kampung sekitar Mukim Rambai
mengadakan demonstrasi di hadapan Balai Polis Kubur Panjang, mengutuk
kenyataan Tian Chua dan membuat laporan polis.




"Kita sebagai manusia yang diberi akal yang waras seharusnya bijak
menilai kejadian yang berlaku di Sabah sebenarnya realiti atau lakonan
apabila kita kehilangan lapan anggota polis," kata jurucakap kumpulan
itu, Che Me Che Mat, 58, kepada Bernama.




Dalam pada itu, lebih 100 anggota Umno Bahagian Bukit Bendera berarak
kira-kira 500 meter ke Balai Polis Kampung Bahru, Air Itam dengan
menyanyikan lagu 'Barisan Kita' dan membawa sepanduk mengecam tindakan
Tian Chua.




"Kita mahu polis ambil tindakan tegas dan segera kerana kenyataan itu
berkait dengan keselamatan negara dan mempertikai tugas anggota
keselamatan.




"Umno Bukit Bendera juga mahu Tian Chua tampil dan membuat permohonan
maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia terutamanya keluarga
anggota polis yang terkorban dalam kejadian di Sabah," kata Ketua Umno
bahagian, Abdul Jalil Ariffin.




-- BERNAMA




Share this article :

Post a Comment

 

Copyright © 2013. angin test - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Modify by Wak
Di kuasakan oleh Blogger