Angin Laut China Selatan - Angin Menderu

LAHAD DATU: ANGGOTA TENTERA TIDAK PERLU TAKUT PADA SIHIR SULUK

Thursday, 14 March 20130 comments











SHAH ALAM: Di sebalik
perjuangan pasukan keselamatan  yang sedang berkhidmat di Lahad Datu 
mempertahankan kedaulatan negara, kisah hangat yang mula berlegar-legar
di media sosial kini ialah mengenai militan Sulu menggunakan ilmu hitam.



Berdasarkan gambar-gambar penceroboh
yang terbunuh, mayat mereka dilihat memakai tangkal yang berbentuk
sebuah buku kecil bertulisan Arab yang dipercayai al-Quran kecil dililit
dengan tali di pinggang serta kain berwarna kuning di badan.

Penggunaan tangkal itu dipercayai boleh menyebabkan mereka kebal daripada ditembusi peluru pasukan keselamatan negara.


Pengerusi Muttaqa Asatizah dan Pendakwah Malaysia (Murshid), Dr
Zaharuddin Abd Rahman berkata, sabda Nabi Muhammad SAW ada mengatakan
bahawa haram mengamalkan ilmu hitam.

Katanya lagi, Nabi Muhammad
SAW tidak menggunakan jin atau ilmu hitam ketika menghadapi musuh
sewaktu usaha baginda menyebarkan Islam.

“Nabi ada menyebut, ia salah satu tujuh dosa besar dan ia adalah amalan syaitan,” katanya mengenai riwayat Abu Daud.


Beliau juga menegaskan bahawa adalah syirik hukumnya bagi sesiapa yang
menggunakan ilmu hitam dan ia disokong dengan dua hadis sahih.


“Sesiapa yang menggantung dan mengikat tangkal maka telah jatuh syirik
kepada dia. Berubatlah kamu semua dan janganlah berubat dengan benda
yang haram,” katanya.

Katanya lagi sambil menjelaskan sebuah
riwayat oleh Ibnu Mas’ud, sesungguhnya ALLAH tidak menjadikan kesembuhan
kamu dengan sesuatu yang diharamkan dan sihir merupakan kekufuran yang
mengeluarkan seseorang dari agamanya.

Selain itu, beliau juga
menasihati pasukan pejuang negara di Lahad Datu dalam menghadapi situasi
ini hendaklah yakin bahawa semua sihir itu tidak akan berjaya atau
berkesan kecuali hanya dengan izin ALLAH.

“Banyakkan berdoa dan
sentiasa mendirikan solat serta amalkan membaca ayat Kursi, semoga sihir
akan patah dengan amalan-amalan baik ini.

“Boleh juga amalkan
10 ayat dari surah al-Baqarah dari semasa ke semasa iaitu lima ayat
pertama, ayat Kursi dan tiga ayat terakhir,” katanya.

Bekas
Mufti Perlis, Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Bin Zainul Abidin pula tidak
menafikan wujudnya sihir atau penggunaan jin untuk mendapatkan
kelebihan tertentu namun jangan menganggap pengguna sihir hebat kerana
sihir tersebut.

“Sihir tidak boleh menjadi sumber kekuatan
kepada tentera. Sejarah membuktikan Indonesia tewas dengan Belanda dan
China tewas dalam perang Candu. Kedua-dua negara ini yang terkenal
dengan ilmu sihir dan jampi serapah kalah dengan teknologi yang jelas
lebih hebat,” katanya.


- Sinar Harian

Share this article :

Post a Comment

 

Copyright © 2013. angin test - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Modify by Wak
Di kuasakan oleh Blogger