Angin Laut China Selatan - Angin Menderu

KHIR TOYO : NAJIB TAKUT BUBAR PARLIMEN????

Wednesday, 27 March 20130 comments











HARI ini merupakan hari terakhir Dewan Undangan Negeri Sembilan
berfungsi. Mungkin pada hari ini, Menteri Besar Datuk Seri Mohammad
Hasan akan mengumumkan pembubaran Dun. Dun juga boleh terbubar sendiri
selepas 12 tengah malam ini.


Namun saya berharapkan Menteri Besar akan mendapat perkenan DYMM Yang
Di Pertuan Negeri untuk membubarkan Dun. Adalah tugas Menteri Besar
untuk memohon perkenan membubarkan Dun. Jika tidak, Negeri Sembilan akan
menjadi negeri pertama dalam sejarah pilihan raya negara yang terbubar
secara sendiri.




Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak mempunyai tempoh
sehingga 28 April ini untuk membubarkan Parlimen. Namun sebelum tarikh
tersebut akan terdapat beberapa negeri akan terbubar dahulu seperti
Melaka dan Johor pada 22 April (tarikh sidang Dun pertama ialah pada 21
April 2008). Ini diikuti oleh Selangor pada 23 April (22 April) dan
Perak 26 April (25 April). Selain itu, terdapat beberapa negeri yang
boleh meneruskan kerajaan sehingga selepas Parlimen dibubarkan.
Antaranya ialah Kedah, Sabah, Terengganu dan Pulau Pinang yang memulakan
sidang Dun mereka pada bulan Mei 2008.




Kemungkinan besar Perdana Menteri tidak akan membubarkan Parlimen dalam
minggu ini. Ini menjadikan kerajaan Negeri Sembilan akan berada di
bawah kerajaan sementara untuk tempoh yang agak panjang.




Saya dimaklumkan bahawa Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim
menyatakan Kerajaan Negeri Selangor akan membubarkan Dewan Negeri
Selangor pada 22 April 2013 sekiranya Parlimen masih belum dibubarkan
pada masa tersebut. Tarikh ini tidak menghairankan kerana ia merupakan
hari terakhir penggal Dewan Negeri Selangor.




Hakikatnya, hak untuk membubarkan Dun Selangor terletak kepada Menteri
Besar dan Tuanku Sultan Selangor. Ia tidak ada kena0mengena dengan
Penasihat Ekonomi Negeri mahu pun Ketua Umum PKR.




Anwar juga mendakwa Mohd Najib takut untuk membubarkan Parlimen kerana tidak yakin boleh memenangi pilihan raya umum kali ini.




Saya tidak fikir Mohd Najib masih belum membubarkan Parlimen kerana
takut kalah. Ini kerana kajian dan pemerhatian pelbagai pihak sama oleh
jentera Barisan Nasional, badan-badan pemerhati bebas, mahu pun
penganalisis politik dan ekonomi antarabangsa meramalkan Barisan
Nasional akan kembali memenangi pilihan raya kali ini dengan pencapain
yang lebih baik dari tahun 2008.




Misalnya, The Economist Intelligence Unit (EIU), sebuah unit
penyelidikan majalah terkemuka The Economist, meramalkan Barisan
Nasional akan memenangi Pilihan Raya Umum ke-13 ini. Malahan The
Economist menyatakan bahawa pada pandangan pemerhati antarabangsa,
keputusan pilihan raya jelas akan memihak kepada Barisan Nasional.




Kaji selidik oleh Merdeka Centre dan Pusat Kajian Demokrasi Dan Pilihan
Raya Universiti Malaya (Umcedel) juga mendapati Barisan Nasional akan
kembali memerintah kerajaan persekutuan.




Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan menyatakan kajian pasukannya
mendapati Barisan Nasional akan memenangi 160 kerusi Parlimen dalam
pilihan raya akan datang. Sungguhpun saya agak skeptikal dengan kajian
ini, namun ia bukanlah mustahil.




Malahan Tun Daim Zainuddin sendiri yang terkenal dengan bacaan politik
beliau yang sangat ampuh juga meramalkan BN akan menang dalam pilihan
raya kali ini.




Berdasarkan pandangan pelbagai pihak dalam dan luar Negara, kajian
bebas atau dilakukan oleh parti, BN akan kembali memerintah Malaysia
untuk lima tahun akan datang. Justeru tidak timbul andaian dan tuduhan
Anwar Ibrahim bahawa Mohd Najib tidak membubarkan Parlimen kerana takut
kalah.





Mengapa Najib belum membubarkan Parlimen?





Soalan ini agak sukar untuk dijawab.




Hanya ALLAH dan Perdana Menteri sahaja yang mengetahui sebab sebenar.
Namun berdasarkan kenyataan-kenyataan beliau sejak beberapa bulan lalu,
nyata beliau mahu menggunakan masa yang ada untuk memastikan idea,
falsafah dan pelan transformasinya dirasai oleh majoriti rakyat.




Saya fikir apa yang Mohd Najib mahukan sekarang ialah kemenangan dua
pertiga. Untuk mendapat kemenangan dua pertiga agak sukar berbanding
sekadar untuk menang. Sebab itu beliau mengambil masa yang lebih sedikit
untuk membuktikan kebolehan beliau dan meyakinkan sebahagian rakyat
yang masih mengambil sikap tunggu dan lihat.




Beliau dilihat seolah-olah tidak cukup masa untuk meyakinkan majoriti
rakyat agar memberi kemenangan dua pertiga kepada Barisan Nasional. Ini
tidak menghairankan kerana hanya pada 3 April tahun ini genap empat
tahun pentadbiran beliau. Ini bermakna beliau kekurangan setahun untuk
penggal pentadbiran penuh.




Oleh kerana beliau mengambil alih pentadbiran dalam keadaan parti yang
lemah dan berantakan, pentadbiran yang dikritik hebat dan hampir
dinyahkan oleh rakyat dalam pilihan raya 2008, tugas Najib tidak semudah
disangka.




Selain itu, keengganan Najib membubarkan Parlimen lebih awal mungkin
beliau bimbang Pakatan akan cuba membuat tindakan tidak beretika seperti
melewatkan pembubaran Dun Selangor, Pulau Pinang dan Kedah.




Jika ini berlaku dan Suruhanjaya Pilihan Raya  (SPR) mahu mengadakan
pilihan raya serentak maka masa kerajaan Persekutuan sementara boleh
mencecah sehingga dua bulan. Ini boleh memberi kesan serius kepada
ekonomi dan pentadbiran Negara.




Malahan masa yang sedemikian panjang boleh mengancam keselamatan sekiranya kempen politik menjadi kian panas.




Justeru saya fikir Mohd Najib akan hanya membubarkan Parlimen seawalnya
selepas ulang tahun keempat pentadbirannya pada awal April ini atau
menunggu sehingga saat akhir, sekaligus mengelakkan Pakatan melakukan
taktik memanjangkan masa pilihan raya untuk menimbulkan ketegangan
kepada rakyat.




Tindakan Mohd Najib untuk memenuhi penggal yang ada harus dipuji
bukannya dikritik. Ini merupakan catatan demokrasi yang penting kepada
Negara ini. Perdana Menteri memilih untuk mengabaikan keistimewaannya
untuk mengadakan pilihan raya secara mengejut.




Bukankah selalunya pembangkang menuduh tidak mempunyai cukup masa
berkempen dan menuduh Barisan Nasional tidak professional kerana
mengumumkan pilihan raya mengejut? Sekarang apabila semua orang sudah
mengetahui bila pilihan raya akan diadakan, tiada unsur kejutan lagi,
Pakatan masih tidak berpuas hati. Apa yang mereka mahukan sebenarnya?




Ramai juga yang bertanya kepada saya, mengapa Anwar begitu beria-ia
mahukan pilihan raya segera sedangkan masanya memang telah pun hampir
tiba. Apakah kerana beliau yakin akan menang atau takut banyak lagi isu
terbongkar dan makin ramai yang meninggalkan Pakatan nanti?




Wallahhualam! Hanya Allah yang maha mengetahui.




* Dipetik dari blog Dr Mohamad Khir Toyo




Share this article :

Post a Comment

 

Copyright © 2013. angin test - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Modify by Wak
Di kuasakan oleh Blogger