Angin Laut China Selatan - Angin Menderu

KEPUTUSAN MELANCARKAN OPERASI KE ATAS PENGGANAS SULU DILAHAD DATU ADALAH DEMI MARUAH NEGARA

Tuesday, 5 March 20130 comments







KUALA LUMPUR (Bernama) -- Bekas tentera, veteran polis dan pemimpin
masyarakat menyifatkan keputusan kerajaan melancarkan operasi bagi
menamatkan pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu hari ini sebagai
wajar bagi mempertahankan kedaulatan negara dan keselamatan rakyat.


Mereka juga menyifatkan sudah tiba masanya Malaysia bertegas terhadap
kumpulan pengganas itu yang jelas tidak mahu penyelesaian secara aman.




Bekas Presiden Persatuan Bekas Tentera Malaysia, Datuk Muhammad Abdul
Ghani berkata selama ini kerajaan Malaysia sentiasa bertolak ansur dalam
menangani isu itu.




"...pendirian tegas ini merupakan satu keadilan untuk semua pihak bagi
mempertahankan kemakmuran Malaysia," katanya ketika dihubungi Bernama di
sini, Selasa.




Pencerobohan di Lahad Datu, Sabah sejak 9 Feb lepas dan merebak ke
sebuah perkampungan di Semporna itu telah mengorbankan lapan anggota
pasukan keselamatan negara setakat ini.




Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu kenyataan pagi
ini, berkata kerajaan terpaksa mengambil tindakan sewajarnya demi
mempertahankan kedaulatan negara selepas usaha menyelesaikan
pencerobohan tanpa pertumpahan darah tidak berjaya.




Sementara itu, Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia Tan
Sri Lee Lam Thye berkata kerajaan sudah memberi banyak masa untuk
berunding dengan kumpulan pengganas terbabit.




"Serangan ini sememangnya tidak dapat dielakkan apatah lagi apabila ia
melibatkan kehilangan nyawa anggota keselamatan kita yang sebolehnya
kita tidak mahu berlaku.




"Masanya telah tiba untuk kita bertindak untuk mengelak lebih ramai
anggota kita yang menjadi korban," katanya ketika dihubungi.




Pandangannya disokong Timbalan Pengerusi Biro Keselamatan dan
Ketenteraman Awam Majlis Perundingan Melayu Datuk Seri Zaini Mohd Said
yang berpendapat telah tiba masanya pasukan keselamatan negara melakukan
tindakan balas.




"Walaupun tindakan ini satu risiko yang besar, namun demi keselamatan
dan kedaulatan negara maka ianya terpaksa dilakukan. Bukan kita mahukan
kekerasan, namun pendekatan secara lembut tidak dilayan, maka keputusan
untuk menyerang adalah yang terbaik buat masa ini," katanya.




Mengenai ada pandangan bahawa operasi besar-besaran seperti itu patut
dilakukan lebih awal, beliau berkata rakyat perlu yakin keputusan yang
diambil kerajaan adalah demi kebaikan semua.




Bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Tan Sri Zaman Khan
pula menyeru rakyat Malaysia untuk sama-sama memberi sokongan secara
rasional terhadap keputusan kerajaan itu.




"Selama ini kita telah membantu secara terbuka membenarkan mereka
(orang Sulu) berada di Sabah mencari nafkah dan kerajaan juga sebelum
ini menjadi orang tengah untuk berunding masalah di Selatan Filipina.




"Namun bukan sahaja mereka tidak menyanjung tinggi malahan menyusup
masuk dan menembak mati pegawai keselamatan kita yang tidak berniat pun
untuk membunuh mereka tetapi mahu berunding," katanya.




Anggota Parlimen Hulu Selangor P.Kamalanathan pula berkata kerajaan
telah memberikan kumpulan pengganas itu banyak peluang untuk menyerah
diri namun bukan sahaja tidak diendah tapi turut bertindak menyerang
pasukan keselamatan negara.




"Dan saya rasa sebelum keputusan ini dibuat, Menteri Dalam Negeri Datuk
Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad
Zahid Hamidi dan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar telah berbincang
secukupnya,"katanya.




Presiden Parti Makkal Sakti, R.S. Thanenthiran pula meminta 97,000
anggotanya bersembahyang di kuil memohon tuhan memelihara keselamatan
pasukan keselamatan negara di Sabah.




"Saya telah menghantar sistem pesanan ringkas (SMS) kepada semua
bahagian untuk disebarkan. Ini merupakan tanda sokongan kami kepada
pasukan keselamatan yang sedang berjuang demi mempertahankan kedaulatan
negara," katanya ketika dihubungi.




Selain itu, beliau juga berharap kerajaan dapat mengambil tindakan
tegas jika terbukti ada pemimpin pembangkang menjadi dalang di sebalik
insiden pencerobohan tersebut.




-- BERNAMA


Share this article :

Post a Comment

 

Copyright © 2013. angin test - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Modify by Wak
Di kuasakan oleh Blogger