Angin Laut China Selatan - Angin Menderu

EDISI KENANGAN 2 : ANWAR DIHUKUM PENJARA 9 TAHUN, SUKMA 6 TAHUN KERANA MELIWAT (08/08/2000)

Saturday, 23 March 20130 comments







KUALA LUMPUR 8 Ogos - Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri
Anwar Ibrahim dihukum penjara sembilan tahun oleh Mahkamah Tinggi di
sini hari ini setelah didapati bersalah atas tuduhan meliwat Azizan Abu
Bakar.



Hakim Datuk Ariffin Jaka memerintahkan hukuman itu berkuat kuasa
selepas Anwar selesai menjalani penjara enam tahun kerana kesalahan
rasuah.



Adik angkat Anwar, Sukma Darmawan Sasmitaat Madja yang menghadapi dua
tuduhan dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan empat kali sebatan.



Hakim bagaimanapun tidak mengenakan Anwar hukuman sebat yang hanya terhad kepada pesalah berumur 49 tahun ke bawah.



Sukma didapati bersalah atas tuduhan meliwat Azizan dan bersubahat
dengan Anwar meliwat bekas pemandu peribadi isteri Anwar, Datin Seri Dr.
Wan Azizah Wan Ismail itu.



Hakim Ariffin bagaimanapun memerintahkan Sukma menjalani hukuman penjaranya secara serentak.

Anwar yang berusia 53 tahun bersama Sukma, 39, didapati bersalah
meliwat Azizan, 40, pada satu malam, di antara Januari hingga Mac 1993,
di apartmen Sukma, unit No. 10-7-2, Tivoli Villa, Jalan Medang Tanduk di
sini.



Hukuman terhadap mereka mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan. Di
bawah seksyen itu ia membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan
sebat.



Hakim Ariffin turut menggunakan budi bicaranya di bawah Seksyen 311
Kanun Prosedur Jenayah untuk membenarkan Sukma diikat jamin RM50,000
dengan dua penjamin sementara menunggu rayuan terhadap hukuman tersebut
di Mahkamah Rayuan.



Bagi syarat jaminan, Sukma diperintahkan menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah.

Anwar memulakan hukuman penjara enam tahunnya sekarang pada 14 April
tahun lepas setelah didapati bersalah terhadap empat tuduhan rasuah
kerana campur tangan dalam siasatan polis terhadap dakwaan salah laku
seksualnya.



Dakwaan itu membawa kepada pemecatannya daripada jawatan kabinet pada 2 Sept 1998.

Sebelum hukuman hari ini diputuskan Anwar menyampaikan hujahnya
sendiri meminta hukuman ke atasnya diringankan. Sementara peguam Sukma,
Gobind Singh Deo membuat rayuan itu bagi pihak anakguamnya.



Semasa menjatuhkan hukuman, Hakim Ariffin menjelaskan beliau
mengambil kira kesalahan serius yang dilakukan oleh Anwar dan mesti
menangani perbuatan terkutuk tersebut dengan cara yang betul.

Beliau menyifatkan perbuatan meliwat sebagai suatu yang menjijikkan
dan ''masyarakat kita mahukan mereka yang melakukan kesalahan seperti
itu diadili sewajarnya.''



''Ia satu keputusan yang sukar dibuat. Dalam menjatuhkan hukuman ia
mestilah mencerminkan betapa seriusnya kesalahan itu, kepentingan orang
ramai dan keadaan sekeliling,'' kata Hakim Ariffin.

''Ada keterangan yang mencukupi berhubung dua tuduhan itu dalam pengakuan Sukma yang telah disokong oleh keterangan Azizan.



''Inilah yang menampakkan kredibilitinya. Tidak ada sebab mengapa
Azizan berbohong kerana dia tidak mempunyai apa-apa melainkan kerugian
semata-mata akibat membuat aduan itu,'' jelas beliau.

Terdahulu, Peguam Negara Tan Sri Mohtar Abdullah semasa menggesa
mahkamah mengenakan hukuman berat terhadap Anwar dan Sukma, berkata
kesalahan itu adalah serius kerana ia memperuntukkan hukuman maksimum 20
tahun dan boleh dikenakan sebatan.



''Hukuman yang berat patut dikenakan kepada kedua-dua yang dituduh
terutama tertuduh pertama (Anwar), kerana kesalahan yang dilakukan oleh
tertuduh pertama dilakukan oleh seorang yang ketika itu memegang jawatan
tinggi di negara ini, seorang yang menyalahgunakan kedudukan beliau
terhadap pekerja bawahannya,'' katanya.



Beliau kemudian meminta mahkamah menjatuhkan hukuman terhadap Anwar
secara berturutan selepas selesainya hukuman yang dijalani sekarang.



Sejurus mahkamah bersidang pukul 9.35 pagi ini, Mohtar memaklumkan
beliau hadir mengetuai pasukan pendakwaan bersama Timbalan-Timbalan
Kanan Pendakwa Raya, Datuk Azahar Mohamad dan Mohd. Yusoff Zainal
Abidin.



Pihak pendakwa turut dibantu oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Nordin Hassan dan Shamsul Sulaiman.



Mohtar memohon maaf bagi pihak Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk
Abdul Gani Patail dan Timbalan Pendakwa Raya, Tun Majid Tun Hamzah yang
tidak dapat hadir kerana mengendalikan pendakwaan kes Al-Ma'unah di
Mahkamah Sesyen, Taiping pagi ini.



Christoper Fernando pula mengetuai pasukan peguam bela Anwar bersama
Karpal Singh, Zainur Zakaria, Gurbachan Singh, S.N. Nair, Pawancheek
Marican dan Zulkifli Noordin.



Jagdeep Singh Deo dan adiknya, Gobind Singh Deo bertindak sebagai peguam bela Sukma.

C.V. Prabhakaran hadir sebagai peguam pemerhati mewakili Ahli Dewan
Undangan Negeri kawasan Hulu Klang, Azmin Ali yang merupakan seorang
saksi penting pembela.



Ketika membaca penghakiman ringkasnya, Hakim Ariffin menegaskan kes pendakwa bersandarkan keseluruhannya atas keterangan Azizan.



Katanya, kes pembelaan pula pada alibi, konspirasi dan mendakwa keterangan rekaan.

Beliau berkata, bagi mewujudkan sama ada elemen itu dibuktikan maka ia harus menimbangkan kredibiliti Azizan.



Menurut Hakim Ariffin, Azizan memberi keterangan selama 10 hari dan
menjawab soalan balas peguam bela yang dibuat dengan agresif dan
bertalu-talu.



Namun, jelas beliau, keterangan Azizan didapati tidak tergugat.



Malah, katanya, juga terdapat keterangan daripada soalan balas
terhadap pegawai penyiasat, Senior Asisten Komisioner (SAC), Datuk Musa
Hassan bahawa Azizan telah membuat lima kenyataan yang konsisten sebelum
itu.



Tambahan pula, kata Hakim Ariffin, keterangan Azizan adalah konsisten
dengan pengakuan yang dibuat oleh Sukma yang mana telah diputuskan oleh
mahkamah ia dilakukan dengan sukarela.



''Saya juga yakin mengenai kebenaran yang disebutkan dalam pengakuan tersebut,'' ujar beliau.

Keputusan beliau itu, kata Hakim Ariffin, adalah konsisten dengan
fakta yang telah digunakan oleh Sukma dalam pengakuannya ketika merayu
bagi meringankan hukuman setelah mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di
sini atas dakwaan membenarkan dirinya diliwat oleh Anwar di bawah
Seksyen 377D Kanun Keseksaan.



Oleh itu, ujar beliau, keterangan Azizan boleh dipercayai.



Hakim Ariffin juga menjelaskan keterangan Azizan mencukupi untuk menyokong pengakuan yang telah dibuat oleh Sukma.



''Walaupun ia suatu pengakuan yang dibuat oleh salah seorang tertuduh
namun begitu ia mengandungi butir-butir keterangan yang penting dan
boleh digunakan terhadap tertuduh pertama (Anwar),'' kata beliau.

Oleh demikian, tambah beliau, terdapat bukti daripada keterangan Azizan terhadap Sukma dan Anwar.

Hakim Ariffin berkata, keterangan Azizan juga menyokong tentang
perilaku Anwar yang meminta Musa menghentikan penyiasatan berhubung
dakwaan terhadapnya.



Katanya lagi, Sukma menghadapi dua tuduhan, bersubahat dan meliwat dengan Anwar.



Berhubung pembelaan alibi, Hakim Ariffin menjelaskan bahawa Anwar
mestilah menunjukkan dia berada di tempat-tempat yang berlainan pada 1
Januari hingga 31 Mac 1993.



Tetapi, menurut Hakim Ariffin, tidak terdapat sebarang keterangan
yang menyatakan Anwar berada di mana pada 1 Januari hingga 12 Februari
1993.



Oleh itu, katanya, Anwar gagal membuktikan pembelaan alibi tersebut.



Sukma pula, menurut beliau, tidak dapat menunjukkan bukti bahawa bilakah pengubahsuaian apartmennya dimulakan dan disiapkan.



''Walaupun kerja-kerja ubahsuai dijalankan namun ia gagal menimbulkan
sebarang keraguan bahawa kesalahan itu tidak berlaku di apartmen itu,''
katanya.



Hakim Ariffin juga menyentuh keterangan saksi pendakwa, bekas Ketua
Polis Negara, Tun Haniff Omar yang dipersoalkan oleh Anwar bahawa
kemungkinan polis cuba memeras ugutnya.



''Ini menampakkan bahawa tertuduh pertama itu ada sesuatu yang merisaukannya,'' jelas Hakim Ariffin.

Selepas menimbangkan sebab-sebab yang dijelaskan, kata Hakim Ariffin,
beliau berpuas hati bahawa pendakwa membuktikan keraguan yang
munasabah terhadap kedua-dua tertuduh.



Dengan itu, tegasnya, mahkamah mendapati kedua-dua tertuduh bersalah sebagaimana mengikut pertuduhan.



Fernando kemudian memaklumkan bahawa Anwar ingin menyampaikan sendiri rayuan sebelum hukuman dijatuhkan.



Hakim Ariffin berkata, beliau membenarkan kerana Anwar boleh melakukan apa yang terbaik untuknya.

Anwar lalu berdiri di kandang tertuduh sambil mengucapkan terima
kasih dan memberitahu dia mahu membaca hujah yang dikatakan ditulisnya
malam tadi.



Hakim Ariffin merekodkan dalam nota prosiding bahawa Anwar sendiri ingin membuat rayuan untuk memohon diringankan hukuman.



Namun Anwar memulakan hujahnya dengan mengkritik badan kehakiman
sambil mendakwa perbicaraan di mahkamah itu bukan bentuk jenayah tetapi
hanya pendakwaan politik.



Di antara lain, Anwar mendakwa pengumuman keputusan perbicaraan
terhadapnya hari ini hanya formaliti mengikut skrip yang disediakan oleh
konspirator.



Hakim Ariffin segera menegur Anwar supaya tidak mengambil kesempatan untuk meneliti keterangan yang telah dibuat oleh mahkamah.



Beliau meminta supaya Anwar bercakap mengikut peraturan dalam mahkamah dan tidak berceramah politik.



Anwar dengan nada marah menyatakan bahawa hakim yang ikut prosedur dan undang-undang.

Hakim Ariffin menegur Anwar yang berterusan menyampuk kata-katanya.



Beliau menjelaskan kepada Anwar keputusan yang dibuat dalam perbicaraan itu berdasarkan bukti yang dikemukakan.



''Saya rasa Karpal, kamu harus menasihatkan dia,'' kata Hakim Ariffin.



Anwar tidak menghiraukan arahan Hakim Ariffin.



Dia mendakwa tidak ada apa bukti yang kukuh untuk mensabitkannya.



Hakim Ariffin dengan nada meninggi menyatakan beliau memberi peluang kepada Anwar dan meminta dengar nasihat peguam belanya.



Anwar masih bersikap provokasi sambil menyatakan dia hanya memulakan
mukadimah sahaja dan belum sampai perkara pokok yang hendak
dikatakannya.



''Penghakiman ini tidak berasaskan undang-undang. Ia tidak adil dan memalukan,'' kata Anwar.



Dengan suara yang meninggi Hakim Ariffin berkata: ''Hentikan. Kamu tidak boleh mengkritik mahkamah.''



Tetapi Anwar terus mengeluarkan kata-kata bahawa keputusan yang dibuat itu mengaibkan.



Hakim Ariffin lalu mengarahkan sidang ditangguhkan 10 minit supaya peguam bela menasihatkan Anwar.



Anwar menyampuk seolah mempersendakan dengan kata-kata ''10 hari!''



''Ini ada hadnya,'' kata Hakim Ariffin.



Anwar menyampuk lagi, ''Ada hadnya badan kehakiman yang karut, Yang Arif.''



Hakim Ariffin dengan keras berkata: ''You are a sick man.''



Anwar segera menyampuk: ''Only a sick judge would call me a sick man.''



Serentak itu kedengaran penyokong Anwar di galeri awam memekik ''Allahuakbar.''



Hakim Ariffin lalu menangguhkan sidang tetapi Anwar masih
mengeluarkan kata-kata provokasi ''tangguh 10 minit untuk mengambil
Panadol.''



Apabila sidang diteruskan semula, Fernando memohon Hakim Ariffin menarik kata-katanya yang tidak sesuai terhadap Anwar ''You are a sick man.''



Hakim Ariffin bersetuju sambil menyatakan beliau meminta maaf jika kata-katanya melukakan hati Anwar.



''Saya minta maaf, kamu bukan sick man dan bukan 'gila', tetapi Datuk Seri mestilah mengikut prosedur,'' jelas Hakim Ariffin.



Pada akhir sidang, Anwar kemudian secara sinis mengucapkan terima
kasih kepada Hakim Ariffin kerana menjatuhkan hukuman itu dan berkata:
''Jumpa lagi pada tahun 2014''.



Antara mereka yang hadir dalam bilik mahkamah yang penuh sesak itu
ialah anggota keluarga Anwar termasuk isterinya Datin Seri Dr. Wan
Azizah Wan Ismail dan anak-anak beliau, ibu bapa Anwar Datuk Ibrahim
Abdul Rahman dan Datin Che Yan Hamid.



UTUSAN MALAYSIA




Share this article :

Post a Comment

 

Copyright © 2013. angin test - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Modify by Wak
Di kuasakan oleh Blogger